Gaharu dikenali dengan berbagai-bagai nama diseluruh dunia. Di Arab, gaharu dikenali sebagai Oud. Di Jepun, gaharu dikenali sebagai Jinko dan Chen Xiang di China akhir sekali gaharu juga digelar Agarwood di beberapa kawasan lain.

Sebelum ini, gaharu diperolehi daripada Pokok Karas dari dalam hutan (Gaharu Semulajadi). Setelah permintaannya semakin tinggi didalam pelbagai bidang terutamanya wangian dan kosmetik, teknik perladangan Pokok Karas diperkenalkan.

 

Pokok Karas yang ditanam akan diinokulasikan setelah berumur 4-5 tahun dengan mikrob untuk berlakunya tindak balas yang akan menghasilkan gaharu.

 

Gaharu sebenarnya merupakan resin yang terhasil daripada tindak balas defensif sistem imun pokok daripada jangkitan penyakit dan kulat. Pokok yang cedera menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan mikrob.

Pokok yang dijangkiti tetapi berimun lemah menyebabkan penyakit terbentuk pada pokok seterusnya menyebabkan pembentukan gaharu daripada nutrien pokok. Resin yang terhasil dari proses ini mengandungi bahan sari atau resapan berbau wangi. Resin itulah yang kita kenali sebagai gaharu.

Pokok yang menghasilkan gaharu ini dipanggil Pokok Karas dan berasal daripada genus Aquilaria. Di Malaysia, Pokok Karas dengan spesies Aquilaria Malaccensis dan juga Aquilaria Subintegra mudah diperolehi.